Artikel

Kenaikan OPR Secara Beransur, Tidak Jejaskan Peminjam Secara Mendadak – MOF

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi Timbalan Menterinya memaklumkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara beransur tidak memberi kesan ketara kepada para peminjam.

Mengikut tinjauan simulasi Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung risiko OPR, langkah meningkatkan paras itu tidak akan memberi kesan mendadak kepada golongan B40. Ini kerana satu pertiga daripada golongan tersebut memiliki pinjaman kadar tetap yang sebahagiannya meliputi pinjaman kenderaan dan peribadi.

Malah kenaikan OPR sebelum ini dengan peningkatan 50 bps (mata asas) hanya menaikkan sebanyak RM85 sebulan bagi tempoh 35 tahun untuk pinjaman perumahan sebanyak RM300,000.

Sementara pinjaman perumahan bernilai RM500,000 pula berdepan pertambahan RM142 sebulan bagi tempoh 35 tahun – susulan kenaikan OPR tersebut.

Situasi yang sama berlaku apabila tercetusnya penurunan OPR pada tahun 2020 – para peminjam menerima penjimatan RM219 sebulan bagi pinjaman perumahan RM300,000 untuk tempoh 35 tahun dan penjimatan RM366 sebulan diterima bagi pinjaman perumahan bernilai RM500,000 untuk tempoh yang sama.