Artikel

Kerosakan Eskalator Stesen LRT, Dijangka Siap Secara Berperingkat Bermula September Ini – MOT

Pengangkutan awam menjadi antara kemudahan yang penting buat rakyat negara, khususnya kepada kumpulan yang ingin menghindari kesesakan trafik bandar. Akan tetapi adanya perkhidmatan tersebut tidak menjamin kecekapan operasi, sekiranya fasiliti di perkhidmatan tersebut masih lagi berdepan kerosakan.

Kenyataan ini merujuk kepada kerosakan yang berlaku pada 56 unit eskalator di stesen-stesen LRT negara.

Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) tinjauan sehingga 5 Julai mendapati 10 unit eskalator daripada jumlah itu kini sedang ditambahbaik oleh pihak OEM – bagaimanapun 46 unit lagi masih belum mengalami penyelenggaraan susulan menunggu alat ganti dari China.

Berikutan kesulitan itu pengurusan RapidRail menjangkakan pemulihan masalah fasiliti tersebut hanya dapat diselesaikan secara berperingkat, bermula pada September 2022 kelak.

Selain itu bagi meningkatkan lagi kualiti fasiliti di stesen LRT, MOT turut menubuhkan Jawatankuasa Audit Fasiliti Stesen bertujuan menjalankan audit secara menyeluruh terhadap kemudahan di stesen. Tindakan audit itu akan melibatkan fasiliti seperti eskalator, lif, pencahayaan, platform serta kemudahan keselamatan lain.