Walaupun kadar pengangguran dalam kalangan siswazah negara menurun kepada 4.1% bagi tahun 2021 – namun situasi itu tidak menidakkan kenyataan bahawa pekerja berpendidikan tinggi di negara terpaksa berdepan, tidak memiliki kerjaya sepadan dengan kemahiran mereka.
Pemaparan Statistik Siswazah 2021 DOSM pada hari ini (27 Julai) menunjukkan terdapat lebih 1.6 juta (35.2%) siswazah di Malaysia kini bekerja dalam kategori separuh mahir (32.9%) dan kemahiran rendah (2.3%).
Data itu secara jelas menunjukkan berlakunya ketidaksepadanan pekerjaan dan latarbelakang pendidikan graduan negara. Di mana kemahiran tinggi mereka tidak dapat digunakan sepenuhnya susulan ketiadaan penawaran pada pekerjaan semasa.
Secara amnya makna ketidaksepadanan pekerjaan adalah situasi individu perlu menerima pekerjaan yang memerlukan kemahiran lebih rendah berbanding pencapaian pendidikan mereka. Dan ia diukur melalui indikator Guna Tenaga Tidak Penuh berkaitan Kemahiran.
Ini senarai tahap kemahiran dan pekerjaan siswazah mengikut pasaran buruh negara bagi tahun 2020-2021;
Mengikut pelarasan gaji pula – ternyata jantina siswazah lelaki telah menerima gaji dan upah bulanan lebih tinggi berbanding siswazah perempuan. Di mana siswazah lelaki menerima penengah gaji dan upah bulanan sekitar RM4,034 berbanding perempuan menerima RM3,680.
Sementara purata gaji dan upah bulanan siswazah lelaki pula adalah RM4,973 lebih tinggi berbanding perempuan hanya RM4,215 sebulan. Jurang pelarasan gaji antara jantina di negara terus berlaku meskipun gagasan kesamarataan mengikut skop pekerjaan telah disuarakan.
Dan mengikut taraf pekerjaan pula, sekitar 88.3% daripada jumlah siswazah bekerja adalah status pekerja pada sesebuah syarikat. Manakala 6.4% pula memilih untuk bekerja sendiri.