Artikel

AirAsia Super App – Kini Mempunyai Purata 10.6 Juta Pengguna Aktif Bulanan

Capital A, syarikat induk disebalik syarikat penerbangan tambang murah AirAsia kini memperlihatkan kerancakkan penyertaan penumpang pada platform perkhidmatan. Apabila bagi suku kedua, kumpulan berjaya mencatatkan faktor muatan sekitar 84% – aras yang sama sebelum berlakunya pandemik COVID-19.

Peratusan itu sekaligus memperlihatkan aliran pemulihan operasi semakin baik, di mana segmen penerbangan telah merekodkan lebih 5.6 juta penumpang setakat April sehingga Jun 2022 ini. Ia bermakna terdapat peningkatan 633% pada prestasi tahun-ke-tahun operasi.

Untuk makluman, Capital A telah melaksanakan lebih 35,000 penerbangan pada suku ini – situasi itu mencerminkan pembukaan sempadan antarabangsa mula meluas, memberi kelebihan kepada sektor penerbangan negara untuk memulih semula.

Malah tidak hanya AirAsia Malaysia yang mencatatkan data positif pertumbuhan, aliran itu turut diperlihat pada cawangan lain dengan faktor muatan bagi AirAsia Indonesia (77%), Filipina (93%), dan Thailand (75%). Hasil ini menunjukkan kekerapan operasi Capital A semakin membrangsangkan dari semasa ke semasa.

Selain itu, prestasi segmen digital seperti airasia SuperApp pula menunjukkan pertumbuhan tinggi pada purata Pengguna Aktif Bulanan dengan memiliki 10.6 juta pengguna pada suku kedua – ia meningkat 236% berbanding data tahun lalu. Lonjakan ini menurut Capital A didorong hasil penambahbaikan aplikasi dan penyertaan perniagaan pada kemudahan.

Sementara untuk segmen kewangan pula BigPay mencatatkan pertumbuhan dengan 1.2 juta pengguna pada suku ini – ia memaparkan peningkatan 62% berbanding data tahun lalu.