Artikel

Tokoh Korporat, Tan Sri Mustapha Kamal Meninggal Dunia Di Usia 73 Tahun

Negara pada hari ini (25 Julai) telah kehilangan seorang tokoh korporat dalam sektor hartanah iaitu Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar – telah disahkan meninggal dunia di usia 73 tahun.

Pemergian pengasas Emkay Group ini telah dimaklumkan pada pagi ini di Institut Jantung Negara (IJN) atas faktor sakit tua.

Untuk makluman Tan Sri Mustapha telah memulakan penglibatannya pada sektor hartanah sejak tahun 1980-an lagi. Ini berlaku selepas beliau berkhidmat di sektor awam di Jabatan Tanah & Galian Selangor, beliau mula menginjak ke sektor swasta di firma hartanah Shah Alam Properties.

Setelah itu, dengan pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki, Tan Sri Mustapha mula membangunkan syarikat Emkay pada tahun 1983. Hasil dedikasi beliau terhadap sektor ini sekaligus telah berjaya membawa MK Land iaitu firma pembangunan hartanahnya ke senarai papan utama Bursa Malaysia pada 27 Ogos 1999.

Kejayaan itu sekaligus telah meletakkan syarikat naungannya menjadi antara syarikat hartanah yang memiliki modal terbesar dengan modal berbayar sekitar RM1.2 bilion. Antara karya projeknya yang akan terus mekar di ingatan rakyat negara adalah seperti Taman Bunga Raya-Bukit Beruntung, Perumahan-Cyberjaya dan Bukit Merah Laketown Resort-Perak.