Artikel

Perolehan 27 Tren LRT Baharu, Disasar Jimatkan Masa Menunggu Pengguna – Prasarana

Mulai tahun hadapan, para pengguna pengangkutan awam khususnya khidmat tren transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya bakal menerima kemudahan tren baharu.

Prasarana pada minggu lalu memaklumkan, negara kelak menerima 27 tren LRT merangkumi 4 gerabak untuk kemudahan baharu pengguna. Ini bermakna tren 2 gerabak akan digantikan kepada tren 4 gerabak baharu.

Setakat ini Hartasuma telah menyerahkan 8 tren baharu dan dijangka 19 tren lagi bakal diterima secara berperingkat mulai Julai 2023 hingga Disember 2024.

Melalui tindakan itu, Prasarana menjangkakan pertambahan tren bersama gerabak ini berpotensi memendekkan masa menunggu para penumpang ketika waktu puncak dan sekaligus meningkatkan kecekapan perkhidmatan untuk mengatasi isu kesesakan pengangkutan awam ketika ini.

Buat pengetahuan umum pelaksanaan ini adalah di bawah rojek Kenderaan Tambahan Kuala Lumpur (KLAV 27) dan membawa nilai sekitar RM1.7 bilion, sejak dilaksanakan pada tahun 2017.