Artikel

KPM, MOF Pertimbang Usul Kenaikan Kadar RMT Pada Bajet 2023

Rancangan Makanan Tambahan atau RMT, kini diusulkan kadarnya dinaikkan demi kesejahteraan para pelajar.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada laporan telah melaksanakan perbincangan lisan bersama Kementerian Kewangan (MOF) berhubung tindakan itu dan kelak cadangan rasmi tersebut diserahkan kepada MOF bagi tujuan dikemukakan pada Bajet 2023, Oktober nanti.

Berdasarkan penambahbaikan, terdapat saranan meningkatkan jumlah hari pembekalan susu buat para pelajar dengan peruntukan hampir RM185 juta. Selain itu, kadar RMT yang bernilai RM2.50-RM3 juga turut dipertimbangkan untuk dinaikkan. Akan tetapi pelbagai faktor perlu diteliti sebelum kesepakatan kenaikan dicapai.

Buat pengetahuan umum, usul ini turut mendapat sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila mengesyorkan kadar RMT dinaikkan kepada RM4 (sekolah Semenanjung), RM5 (sekolah di Labuan, Sabah dan Sarawak).

Cadangan itu susulan memastikan kebajikan kumpulan pelajar miskin merangkumi 789,902 kanak-kanak di Malaysia, terus dilindungi dan terpelihara pada struktur bantuan makanan.