Sebuah platform khas atau kaedah sistematik baharu berkaitan penyaluran maklumat isu rasuah akan mula dibangunkan khusus buat komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran negara – seawal bulan hadapan.
Usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Persekutuan Orang Pekak Malaysia ketika ini untuk memperkasakan penyampaian aduan rasuah serta panduan berkaitan jenayah rasuah dalam kalangan OKU pendengaran.
Sebelum ini, difahamkan komuniti OKU tidak memiliki sebarang kemudahan platform rasmi berkaitan penyaluran maklumat rasuah. Maka adanya langkah ini, SPRM menjangkakan platform sedemikian akan diperluaskan kepada kategori OKU yang lain – dari semasa ke semasa.
Pada masa yang sama, bagi penambahbaikan – SPRM turut dicadangkan untuk menyediakan jurubahasa isyarat dalam urusan rasmi. Tindakan itu menurut Senator Datuk Ras Adiba Radzi ia selari dengan usaha pentadbiran negara dalam meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat berhubung isu rasuah kepada komuniti OKU.