Artikel

T20 Nikmati RM8 Bilion Subsidi RON95 – Sama Nilai Boleh Bina 160 Buah Sekolah

Ternyata penggunaan petrol RON95 dilihat terus menjadi penggunaan utama bagi kelas pendapatan tinggi iaitu golongan T20 di Malaysia.

Apabila tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Perbelanjaan Isi Rumah mendapati sekitar 32% golongan T20 menggunaakan RON95, diikuti M40 sekitar 46% dan B40 pula 22%.

Menerusi pecahan penggunaan tersebut, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada jawapan lisan sidang parlimen – secara jelas subsidi yang dianggarkan bernilai RM27 bilion itu telah memanfaatkan golongan T20 dengan RM8 bilion, M40 pula RM13 bilion dan B40 dengan RM6 bilion.

Penjelasan itu memperincikan jumlah subsidi RON95 yang dinikmati T20 ternyata – hampir menyamai peruntukan bantuan tunai RM8 bilion melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Faedah yang dinikmati T20 itu sebagai perbandingan juga – sebenarnya membolehkan negara membina 16 buah hospital berkapasiti 300 katil bagi setiap hospital atau memiliki 160 buah sekolah dengan 30 bilik darjah bagi setiap sekolah.

Maka menyedari ketirisan faedah tersebut, pengagihan subsidi secara bersasar wajar menjadi matlamat utama kerajaan Malaysia untuk melindungi hak golongan pendapatan pertengahan serta rendah. Tidak hanya itu, melalui subsidi secara bersasar, ia turut dapat mengoptimumkan sumber kewangan negara serta menghasilkan penjimatan yang lebih berbaloi.