Artikel

Cuti Haid Buat Pekerja Wanita Malaysia Masih Dikaji – Dijangka Bentang Oktober Ini

Saranan menerapkan cuti haid buat pekerja wanita kini masih lagi diteliti oleh pentadbiran negara.

Langkah itu menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu diperhalusi dengan teliti, ia tidak hanya melibatkan kesejahteraan pekerja wanita sahaja tetapi turut memberi kesan pada landskap buruh negara.

Setakat ini tinjauan melibatkan 57,000 responden di seluruh negara sedang dijalankan. Semakan itu dijangka selesai dan dapat dibentangkan kepada kerajaan pada Oktober kelak.

Pentadbiran negara menyambut baik saranan penerapan cuti haid ini namun beberapa pengukuran melibatkan kesan produktiviti dan kesetiaan pekerja sedang dilakukan. Bagi memastikan faktor sedemikian tidak memberi kesan pada persekitaraan pekerjaan negara.

Buat masa ini, beberapa negara telah melaksanakan agenda tersebut. Antaranya Sepanyol, Jepun dan Indonesia telah menerapkan cuti haid ke atas para pekerja wanita negara mereka.