Artikel

Lebih 50% Pengusaha Stesen Minyak Negara – Kini Rugi

Ketika ini, lebih 50% pengusaha stesen minyak negara sedang alami kerugian – susulan kenaikan kos operasi, keperluan peningkatan gaji minimum pekerja dan penetapan harga minyak secara mingguan. 

Ketidaktentuan ekonomi semasa, jelas telah menjejaskan pulangan pihak stesen meskipun menjadi perkhidmatan utama dalam harian pengguna awam. 

Pemerhatian Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) dapati beberapa aspek wajar dipertimbangkan kerajaan – antaranya menetapkan semula harga minyak secara bulanan berbanding mingguan. 

Usul itu dilihat lebih stabil – untuk mengelakkan para pengusaha alami kerugian disebabkan ketidaktentuan harga minyak mingguan dengan kos pembelian stok minyak yang tinggi. Malah pihaknya juga memaklumkan sekadar menerima keuntungan pada kadar 15 sen seliter sahaja. 

PDAM pada laporan turut menggariskan pengusaha stesen minyak tidak seperti perniagaan lain – yang dapat meningkatkan harga jualan disebabkan kenaikan kos. Pihaknya pula terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi tatkala margin sudah ditentukan oleh pentadbiran negara.