Artikel

Setelah 13 Tahun Beroperasi – H&M Bakal Keluar Dari Pasaran Rusia

H&M, penyedia fesyen milik Sweden kini mengambil keputusan untuk menamatkan operasi mereka di pasaran Rusia kelak – atas faktor ‘mustahil’ yang timbul disebabkan ketidaktentuan krisis ekonomi Rusia-Ukraine.

Tindakan ini bermakna syarikat fesyen tersebut akan menoktahkan perjalanan perniagaan mereka di Rusia setelah sertai pasaran tersebut selama 13 tahun, sejak menapak 2009.

Menerusi langkah penamatan operasi ini – H&M dijangka berdepan perbelanjaan sekitar $192 juta dan menerima kesan $96.2 juta aliran tunai terhadap jenama. Makluman menyeluruh dana syarikat difahamkan akan disertakan pada laporan kewangan suku ketiga kelak.

Buat pengetahuan umum, susulan tercetusnya konflik antara Rusia-Ukraine – H&M sejak awal Mac lalu telah mengambil keputusan menghentikan segala operasi jualan mereka di Rusia. Kepincangan krisis tersebut difahamkan telah menjejaskan kira-kira 6,000 pekerja mereka di pasaran negara tersebut.