Artikel

Inflasi Malaysia Mungkin Naik Sehingga 11%, Jika Tiada Subsidi – PM Ismail

Malaysia ketika membelanjakan sekitar RM63.6 bilion bagi makanan import untuk menampung permintaan semasa – ia merangkumi keperluan makanan langsung serta makanan ternakan.

Meninjau pada prestasi semasa, Perdana Menteri Ismail Sabri menyatakan paras inflasi negara menjadi antara yang terendah dalam kalangan negara Asia Tenggara iaitu di kadar 2.8%.

Menurutnya pada sidang Parlimen sesi pagi hari ini (18 Julai), kadar tersebut diimbangi oleh paras subsidi yang telah ditingkatkan negara kepada RM77.7 bilion berbanding peruntukan asal RM31 bilion untuk tahun ini.

Jika pemberian subsidi ini tidak dilaksanakan, kadar inflasi Malaysia berupaya mencecah antara 8% hingga 11%. Dan situasi tersebut akan meningkatkan lagi kesan ke atas perbelanjaan pengguna.

Buat pengetahuan umum, inflasi negara jiran lebih tinggi dengan Thailand (7.7%), Singapura (5.6%), Indonesia (4.4%), United Kingdom (9.1%), AS (9.1%) dan Kesatuan Eropah (8.6%).

Perincian tersebut sekaligus memperlihatkan kerajaan telah menambah peruntukan subsidi supaya rakyat negara tidak mengalami kesan yang teruk disebabkan kenaikan harga barang yang berlaku di seluruh dunia.