Tahukah anda, nisbah penduduk Malaysia kini memperlihatkan jumlah jantina lelaki lebih ramai daripada wanita?
Sekiranya tahun 1970, lelaki sekadar mencatatkan nisbah 103 kepada setiap 100 wanita di Malaysia, ketika ini jumlah itu telah naik menjadi 110 lelaki kepada setiap 100 wanita di negara.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di bawah data Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 ini – situasi peningkatan populasi penduduk lelaki ini telah didorong atas beberapa faktor.
Antaranya penyertaan jumlah besar pekerja asing lelaki ke Malaysia dan kadar kelahiran lelaki yang lebih tinggi telah dicatatkan. Jika dilihat pada pecahan populasi mengikut warganegara dan bukan-warganegara, ternyata jumlah jantina lelaki kekal mendahulu wanita di Malaysia.
Situasi ini secara jelas memperlihatkan wujudnya ketidakseimbangan pada struktur sosial dan ekonomi – di mana atas faktor tidak memiliki pasangan, kumpulan lelaki dilihat cenderung fokus kepada persaingan pekerjaan.
Mengikut laporan TheStar pada tinjauan kajian Tenaga Buruh memaparkan sebahagian besar penduduk lelaki negara telah mendominasi industri pekerjaan tertentu. Antaranya melibatkan pembinaan, pembuatan, pertanian – khususnya di negeri Johor, WP Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Melaka.
Sementara wanita pula diperlihat mendominasi sektor pasaran buruh – selaku penjawat awam, khususnya di Putrajaya.
Apabila berlakunya lebihan pekerja lelaki, ini bermakna akses dan peluang kepada pekerja wanita akan semakin sukar – ini termasuklah sektor pekerjaan yang sebelum ini didominasi wanita seperti kejururawatan, telah mula disertai kumpulan lelaki.
Semua pihak juga perlu sedari pada peringkat pendidikan tertinggi di Malaysia, wanita mendahului dengan 47.5% berbanding lelaki hanya 33.8%. Namun mengikut Statistik Siswazah 2020 ternyata purata gaji dan upah bagi siswazah mengikut jantina – siswazah lelaki menerima RM4,861 berbanding siswazah wanita pula RM4,135. Perbezaan lebih RM700 ini suatu perkara wajar diberi perhatian.
Maka tidak hairanlah sekiranya kekangan sedemikian meningkatkan lagi faktor migrasi wanita Malaysia ke pasaran pekerjaan negara luar terus berlaku. Perkara itu jelas merugikan ekonomi dan sosial negara.