Artikel

Bank Islam Hadir Dengan Aplikasi Bank Digital Pertama – Be U

Bank Islam Malaysia kelak bakal melancarkan bank digital rasminya, yang dikenali sebagai Be U kepada tatapan pengguna awam.

Apa yang menarik, aplikasi bank digital ini telahpun tersedia kepada semua pihak sejak Jun lagi. Melalui pemaparan muat-turun itu, Bank Islam pada peringkat awal menjangkakan sekitar 350,000 pengguna bakal memiliki aplikasi tersebut dalam tempoh 12 bulan kelak.

Menerusi Be U, pihak perbankan ingin memberi tumpuan kepada generasi muda., khususnya buat kumpulan muda yang baru memasuki alam pekerjaan. Di mana kumpulan ini akan ditawarkan pelbagai produk serta instrumen kewangan untuk memudahkan aliran kewangan mereka.

Tidak hanya itu, pengguna juga dapat memiliki kemudahan seperti akaun simpanan, pemindahan tunai serta ciri tabung (Nest) – membantu pengguna menyimpan dana bagi tujuan tertentu.

Sementara berhubung persoalan penawaran produk kewangan Be U kepada sektor perniagaan, Bank Islam dilaporkan tidak memiliki perancangan lanjut berhubung langkah tersebut. Fokus buat masa ini diutamakan kepada generasi muda terlebih dahulu.

Untuk makluman, pembangunan aplikasi Be U ini turut dinyatakan merangkumi pelaburan mencecah sekitar RM34 juta dan dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada pertengahan Julai kelak.