Artikel

Rakyat Sri Lanka Pilih Berbasikal Ke Tempat Kerja – Depani Krisis Ekonomi

Susulan terperangkap dengan krisis ekonomi melampau, sebahagian penduduk Sri Lanka yang memiliki pekerjaan profesional kini mula beralih menggunakan pengangkutan basikal berbanding kereta berikutan ketiadaan bekalan bahan api – untuk ke tempat kerja dan memenuhi tugasan lain.

Mengikut laporan Reuters, meskipun kumpulan ini terpaksa mengharungi perjalanan beberapa jam, langkah itu dilihat lebih baik, daripada terpaksa beratur mendapatkan bekalan petrol sehingga memakan masa 3 hari untuk kenderaan mereka pada tiga minggu lalu. 

Selain ketirisan bekalan tersebut, 22 juta penduduk Sri Lanka juga turut berdepan kekurangan bekalan lain seperti ubatan, makanan dan bekalan pertanian. 

Setakat ini, sekitar 2 minggu Sri Lanka dilaporkan tidak menerima sebarang penghantaran minyak dan sektor pendidikan juga telah dikerah untuk ditutup serta bekalan bahan api pula dihadkan hanya kepada sektor perkhidmatan penting sahaja. Melihat pada situasi ini, secara jelas pertumbuhan Sri Lanka semakin lemah tanpa sebarang pengukuhan strategi ekonomi.