Artikel

BNM Beri Amaran Kepada Pengguna – Berwaspada Belanja Guna BNPL

BNPL, (Bayar Nanti, Pakai Lekas) kini menjadi kaedah pembayaran yang semakin digemari oleh pengguna tempatan. Tindakan ini bukanlah suatu perkara yang aneh susulan pengguna negara telah didorong akan tekanan kos sara hidup, kekurangan wang tunai – menjadikan BNPL kaedah pembayaran ansuran yang relevan untuk mereka.

Memahami ketidaktentuan ekonomi, Bank Negara Malaysia (BNM) kekal menegaskan kaedah pembayaran ini memiliki risiko yang tinggi, dan pengguna perlu berwaspada ketika menggunakannya dalam perbelanjaan.

Ini kerana buat masa ini, kaedah ansuran tersebut tidak tertakluk di bawah pengawalseliaan BNM dan itu bermakna sebarang penambahan caj seperti yuran pemprosesan atau pembayaran lewat boleh menjadi lebih tinggi ke atas pengguna.

Setakat ini pasaran negara memiliki sekitar 12 penyedia perkhidmatan BNPL dan turut dijangka jumlah tersebut akan mengalami peningkatan dari semasa ke semasa, berikutan penerimaan para pengguna terhadap konsep transaksinya.

Walaupun tidak tertakluk di bawah pengawalan BNM, bank pusat negara pada laporan MalayMail memaklumkan ketika ini Kementerian Kewangan (MOF) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang mempergiatkan usaha untuk menggubal Akta Kredit Pengguna (CCA) pada 2022, turut melibatkan pembentukan Lembaga Pemantau Kredit Pengguna (CCOB).

Adanya pelaksanaan itu, kelak penawaran khidmat BNPL akan dipantau oleh lembaga tersebut selaku pihak berkuasa tunggal. Bagaimanapun, BNM tidak menggariskan tempoh sebenar pelaksanaan tersebut dijalankan pada institusi kewangan bank dan bukan-bank.