Artikel

Shell, Arus Oil Bekerjasama Galakkan Pengguna – Mengitar Semula Minyak Masak Terpakai

Bagi mewujudkan persekitaran yang mampan, Shell bersama Arus Oil kini mencapai kesepakatan menyediakan kemudahan akses kepada pengguna Malaysia – untuk mengitar semula minyak masak terpakai (UCO) mereka.

Tahukah anda sekitar 120 juta tan metrik minyak dibazirkan pada setiap tahun. Dan susulan data itu, hanya 25% minyak masak yang digunakan  diserap dalam makanan sementara 75% minyak yang diguna pula dibuang atau diguna semula.

Maka untuk menghindarkan kegiatan pembaziran, Shell akan berperanan selaku hab pengumpulan minyak terpakai buat pengguna pada aplikasi Arus Oil – dan bekalan sumber yang terkumpul akan ditukarkan kepada biodiesel iaitu sumber tenaga yang lebih bersih dengan pelepasan karbon rendah, di mana ia memberi manfaat kepada kenderaan dan jentera industri.

Buat pengetahuan umum, Arus Oil telah memulakan inisiatif pengumpulan ini sejak tahun 2017 lagi. Bermula dengan pengumpulan secara individu, kini diperluas pengumpulan kepada isi rumah dan restoran-restoran tempatan.

Untuk pihak yang berminat melaksanakan proses mengitar-semula minyak terpakai, boleh memuat turun aplikasi Arus Oil dan tetapkan temu janji bersama wakil Arus Oil bagi tindakan pengumpulan bekas minyak masak terpakai anda di mana jua.