Artikel

Kerajaan Akan Perkenal Menu Keluarga Malaysia Di IPT – Harga Siling RM3.50 Per Hidangan

Memahami tekanan kos makanan yang semakin meruncing pada masa ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan beberapa pendekatan baharu dilaksanakan untuk menyerap peningkatan kos tersebut.

Antaranya mulai Julai 2022 moratorium bayaran sewa selama 6 bulan dilaksanakan kepada pengusaha perkhidmatan makanan di kampus IPT Awam – ini sekaligus membantu menyerap kos jualan makanan kepada para pelajar.

Selain moratorium tersebut, KPT turut akan membentuk sebuah Jawatankuasa Tindakan Kos Sara Hidup – bagi meyelaraskan dan melaksana dasar untuk pemantauan kawalan harga jualan makanan di kampus. Pada masa yang sama, KPT turut memperkasakan Food Bank Siswa dan Food@Campus di IPT dengan kerjasama pelbagai badan, NGO serta badan persendirian.

Lebih menarik, di bawah inisiatif kerajaan juga – pengenalan Menu Keluarga Malaysia akan ditawarkan pada menu di IPTA dengan penetapan harga siling RM3.50 per hidangan.

Adanya usaha ini, ia dilihat tidak hanya membendung kenaikan harga jualan makanan tetapi turut melindungi kebajikan para pelajar secara bersama dan membantu peniaga meringankan bebanan di peringkat penghasilan makanan.