Artikel

1 Julai 1956 – Bahasa Melayu Jadi Syarat Utama Untuk Bekerja Dengan Kerajaan

Menteri Muda (Timbalan Menteri) Kerajaan Tempatan iaitu Abdul Rahman bin Talib hari ini pada tahun 1956 telah membuat kenyataan bahawa kelulusan Bahasa Melayu akan dijadikan sebagai syarat utama untuk berkhidmat dengan kerajaan. 

Kenyataan tersebut dibuat semasa perasmian mesyuarat Agung Kesatuan Guru-Guru Pulau Pinang dan Seberang Perai bertempat di Hotel Piccadily, Pulau Pinang. 

Kedudukan Bahasa Melayu telah mendapat jaminan dari Penyata Pelajaran Kerajaan Persekutuan. Dan maklumat ini telah diterima baik oleh para guru dan masyarakat. 

Susulan itu, Abdul Rahman berharap sekiranya cadangan ini dapat dilaksanakan dengan baik dalam tempoh 10 tahun lagi Bahasa Melayu akan mendapat tempat yang sesuai di negara ini. 

Wujudnya syarat menjadikan kelulusan Bahasa Melayu sebagai syarat utama untuk berkhidmat dengan kerajaan akan membuktikan bahawa kerajaan sentiasa berusaha untuk memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu supaya menjadi identiti kepada negara. 

Untuk pengetahuan semua, kerajaan sebelum ini memberi kelonggaran untuk rakyat Malaysia lulus dengan kepujian Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia mendapat sebarang jawatan di bawah kerajaan. Namun pada tahun 2017, Timbalan Perdana Menteri ketika itu menarik semula kelonggaran tersebut. Ini kerana, ia adalah keutamaan bagi setiap warganegara Malaysia untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan perkara ini perlu sentiasa dihormati.