Artikel

Pendapatan 50% Rakyat Malaysia Merosot – Disebabkan Pandemik COVID-19

Tiada siapa menyangka penularan wabak COVID-19 berupaya memberi kesan yang mendalam kepada status kewangan individu – dan disebabkan fasa pandemik COVID-19 sebelum ini, ternyata sekitar 50% rakyat Malaysia mengalami penyusutan pendapatan.

Situasi ini tidak sekadar menjejaskan kumpulan pendapatan rendah, bahkan turut memberi kesan yang tinggi kepada golongan kaya di negara – apabila 43% daripada mereka mengalami pendapatan terjejas.

Mengikut tinjauan FICO pada rangka laporan Perubahan Asia-Pasifik Setelah Pasca Pandemik 2022 – ternyata 50% rakyat negara yang merupakan pengguna perbankan runcit telah alami penurunan pendapatan, sementara 42% pengguna pula tidak mengalami perubahan dalam pendapatan mereka dan hanya 9% rakyat sahaja mengalami kenaikan gaji pada tempoh pandemik tersebut.

Manakala bagi gologan kaya di negara pula – sekitar 43% berdepan pendapatan terjejas, 47% tidak mengalami sebarang perubahan pendapatan dan hanya 11% golongan kaya sahaja alami kenaikan pendapatan dalam tempoh itu.

Pada masa yang sama, bagi pemerhatian dalam perbelanjaan, simpanan, pinjaman dan pelaburan – secara jelas beberapa perubahan tabiat telah dipaparkan oleh rakyat negara dalam aktiviti kewangan mereka ketika tempoh pandemik. Di mana 82% rakyat negara mengekalkan simpanan berbanding 18% pula berdepan simpanan mereka terjejas.

Manakala pada segmen pinjaman pula ternyata golongan kaya memperlihatkan sekitar 46% penggunannya mengalami tunggakan pinjaman, angka ini hanya 3% lebih rendah berbanding tunggakan pengguna perbankan runcit menyeluruh negara.

Susulan situasi tunggakan pinjaman itu, kita dapat lihat golongan kaya mula mengubah tabiat perbelanjaan mereka, sekitar 40% berhasrat kurangkan perbelanjaan mereka ketika pandemik COVID-19.

Buat pengetahuan umum, tinjauan ini telah dilaksana melibatkan 15,605 responden perbankan runcit dari Malaysia, Australia, Singapura, New Zealand, Indonesia, India dan Thailand – dalam mengetahui aliran kewangan pengguna ketika pandemik COVID-19.