Artikel

29 Jun 1960 – Malaysia Umum Kad Pengenalan Baharu

Tarikh hari ini pada tahun 1960, Dato’ Sulaiman bin Dato’ Abdul Rahman selaku YB Menteri Dalam Negeri telah mengumumkan pengeluaran Kad Pengenalan baharu mulai 1 Ogos 1960. Pengeluaran Kad Pengenalan ini bertujuan untuk memperkemaskan lagi sistem pendaftaran negara.

Kad pengenalan berukuran 10.16 cm panjang dan 26.67 cm lebar beserta sekeping gambar ini dikeluarkan dalam empat warna bagi mengenalpasti taraf pemegang kad-kad pengenalan tersebut dan ia tertakluk di bawah Undang-Undang Pendaftaran Negara Tahun 1960.

Kad pengenalan berwarna biru adalah untuk warganegara, merah untuk orang-orang bukan pemastautin yang tinggal di negara ini, hijau adalah bagi mereka yang memasuki negara ini melalui peraturan serta undang-undang iaitu selain dari orang-orang bukan pemaustautin dan yang terakhir adalah berwarna perang yang dicipta untuk orang yang telah didaftar dibawah Undang-Undang Mencegah Jenayah tahun 1959. 

Selain mempunyai maklumat terperinci termasuk nombor kad pengenalan, ia mempunyai gambar hitam putih beserta cap ibu jari kiri dan kanan. Tidak hanya itu, ia juga bersalut dan diproses secara teragih.

Untuk makluman, pada tahun-tahun berikutnya, penggunaan Kad Pengenalan ini telah diperluaskan ke Sarawak pada tahun 1966 dan 1972 untuk penduduk di Sabah.

Evolusi terakhir untuk Kad Pengenalan adalah pada tahun 2012. Kad Pengenalan yang juga dikenali sebagai MyKad mempunyai pelbagai fungsi lain termasuk sebagai dokumen sah lesen memandu, sebagai passport sah, boleh dijadikan sebagai Kad Transit (Touch ‘N Go) dan pelbagai lagi fungsi lain. 

Seperti yang umum sedia maklum, kita juga mempunyai beberapa Kad Pengenalan lain selain MyKad antaranya adalah MyKid iaitu kad pengenalan kanak-kanak bercip yang dikeluarkan untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun. Selain itu MyPR pula adalah untuk semua penduduk Malaysia yang bertaraf bermastautin Tetap dan MyKAS untuk Permastautin Sementara.