Artikel

SKMM Beri Kelulusan Penggabungan Celcom-Digi

SKMM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia kini mengeluarkan notis tiada bantahan serta membenarkan usul penggabungan Celcom Axiata Bhd bersama Digi.com Bhd.

Tindakan ini setelah melaksanakan penilaian menyeluruh berhubung langkah penyatuan tersebut.

Untuk makluman pada awal April lalu, SKMM telah mengeluarkan Penyataan Isu terhadap kedua syarikat – selari dengan Garis Panduan Penggabungan dan Pengambilalihan untuk menangani kebimbangan berhubung persaingan pasaran komunikasi sekiranya penyatuan ini berlaku.

Maka kedua pihak telahpun mengemukakan akujanji berhubung komintmen mereka untuk atasi isu persaingan yang telah dibangkitkan oleh SKMM. Susulan tindakan itu, SKMM telah mempertimbangkan komitmen yang dikemukakan kedua pihak.

Buat pengetahuan umum, penyatuan ini akan berperanan selaku penyedia perkhidmatan telekomunikasi terkemuka di Malaysia dari segi nilai, pendapatan dan keuntungan, dengan jangkaan pendapatan sekitar RM12.4 bilion, Margin Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai, dan Amortisasi (EBITDA) pula sekitar RM5.7 bilion, dan dianggarkan memiliki 19 juta pelanggan.