Pada tarikh hari ini ketika tahun 1988, Singapura telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Malaysia untuk pembelian gas asli luar pesisir Terengganu. Dan bersetuju untuk membayar harga premium tidak kurang daripada S$20 juta kepada Malaysia.
Perjanjian ini ditandatangani oleh Perdana Menteri Lee Kuan Yew bersama Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamed juga membuat peruntukan supaya Singapura mengambil lebih banyak air dari Malaysia.
Untuk makluman, rundingan berhubung perjanjian mengenai bekalan air dan gas ini telah berjalan selama 6 tahun dan akhirnya mencapai kata putus pada tahun 1988.
Di dalam perjanjian itu, Malaysia juga telah bersetuju untuk membekalkan gas ke Singapura secara jangka masa panjang tetapi bayaran untuk tahun-tahun berikutnya akan dikira sebagai peratusan purata dan harga minyak bahan api sederhana yang tercatat untuk tempoh 1 Julai 1987 hingga 30 Jun 1988
Bukan sekadar itu, harga gas akan dikekalkan sepanjang tempoh perjanjian dan kuantiti bekalan gas ditetapkan pada 150 juta kaki kubik setiap hari.
Untuk pengetahuan pembaca, pada tahun 2010, loji jana kuasa elektrik Singapura telah mendapat sumber gas baharu selepas 18 tahun pembelian lebih $3 bilion gas asli dari Malaysia. Sebuah saluran paip baharu dibina dari Johor ke Singapura menghubungkan rangkaian gas nasional Singapura ke Malaysia buat kali pertama, memberikan bekalan alternatif jika terdapat sebarang gangguan kepada sumber Indonesia sedia ada.
Langkah itu adalah untuk mempelbagaikan sumber tenaga Singapura yang mungkin membantu menghalang pemadaman bekalan elektrik secara besar-besaran seperti tahun sebelumnya di Singapura. Selain itu merapatkan hubungan Malaysia-Singapura.
Setakat tahun 2020, Malaysia duduk di tangga yang ke-11 dalam senarai pengeluar gas asli di dunia. Kini, Malaysia dilihat sebagai negara yang berpotensi menjadi pengeluar utama untuk peringkat global.