Artikel

Isu Kecuaian Bencana Banjir – Kerajaan Kini Berdepan Tuntutan Saman RM3.8 Juta

Setelah melalui episod getir pada Disember tahun lalu, kini sekumpulan penduduk Taman Sri Muda melibatkan 50 orang penduduk – mula mengatur langkah dengan failkan saman terhadap kerajaan, menuntut kerugian khas berjumlah RM3.8 juta.

Tindakan saman ini mengikut laporan akan dikenakan ke atas beberapa pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan.

Antaranya melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Alam Sekitar dan Air, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), KDEB Waste Management , Tenaga Nasional Berhad (TNB), kerajaan Selangor dan Malaysia selaku defendan.

Secara keseluruhannya, tindakan tuntutan ini adalah berpaksikan kepada  peranan setiap pihak berkuasa dalam pengurusan bencana banjir – seharusnya ia dijalankan dengan berkesan tanpa sebarang kecuaian. Namun kegagalan berbuat demikian telah mengakibatkan kerugian yang tinggi terpaksa didepani oleh semua pihak, terutamanya para penduduk setempat.

Bagi perincian lanjut, tuntutan ganti rugi yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Jun lalu ini difahamkan tidak termasuk dengan kos ganti rugi am atau pertambahan kos lain. Ini bermakna kerugian sebenar jauh lebih besar yang terpaksa ditampung oleh kumpulan penduduk.