Setelah berdepan dengan pelbagai jangkaan, Sapura Energy bagi suku pertama 2022 kini mencatatkan paras keuntungan bersih sebanyak RM91.93 juta pada laporan kewangan suku berakhir pada 30 April lalu.
Mengikut makluman kepada Bursa Malaysia semalam (27 Jun) prestasi hasil kumpulan bagaimanapun jatuh sekitar 39.7% kepada RM886.08 juta, berbanding RM1.47 bilion bagi data tempoh yang sama pada tahun 2021.
Situasi ini berlaku susulan aktiviti projek yang lebih rendah pada segmen pembinaan dan kejuruteraan. Tidak hanya itu, kumpulan juga merencana pelan penyusunan semula bagi mencapai pengukuhan pada pasaran ekonomi negara.
Walaupun menyedari prestasi kumpulan ke arah pemulihan, Sapura terus akui masih terdapat pelbagai kesukaran yang perlu di atasi kumpulan untuk memastikan matlamat pemulihan dicapai.
Buat pengetahuan umum, Sapura Energy ketika ini telah disenaraikan selaku syarikat PN17 atau Nota Amalan (Practice Note) 17/2005.
PN17 adalah suatu aturan yang ditetapkan Bursa Malaysia terhadap kumpulan syarikat yang bermasalah dari aspek kewangan. Penyenaraian ini berisiko mengakibatkan sesebuah syarikat terkeluar daripada papan Bursa Malaysia. Secara ringkasnya, entiti berkaitan gagal memenuhi kriteria minimum yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia.
Untuk makluman ini antara ciri membawa kepada klasifikasi PN17;
- Dana pemegang saham syarikat kurang daripada 25% daripada jumlah modal berbayar
- Penerima telah dilantik untuk mengawal aset syarikat
- Penggulungan beberapa anak syarikat mereka dan syarikat bersekutu
- Juruaudit telah memberikan kenyataan negatif atau tidak seimbang tentang syarikat
- Tidak patuhi faedah pinjaman dan pembayaran balik hutang syarikat
- Syarikat telah menangguhkan atau menghentikan operasi
- Syarikat tidak memiliki perniagaan ataupun operasi yang signifikan