Artikel

27 Jun 1967 – Malaysia-Indonesia Sepakat Bentuk Sistem Ejaan Baharu

Peristiwa hari ini dalam sejarah pada tahun 1967, satu sistem ejaan baharu yang sesuai bagi Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia yang ilmiah dan praktikal telah dipersetujui. 

Persetujuan ini dilakukan melalui satu rundingan diantara Jawatankuasa Bahasa dan Ejaan Malaysia yang dipengerusikan oleh Tuan Syed Nasir bin Ismail selaku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka bersama Nyonya S.W.Ruddjiati yang mengetuai Kumpulan Ahli Bahasa Komando Tertinggi Indonesia. 

Selain itu, beberapa perkara telah dibincangkan dalam rundingan itu, antaranya berkenaan dengan hubungan diantara Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia yang perlu dipertingkatkan melalui semua saluran dari segi pertuturan mahupun penulisan. 

Bahasa diantara dua negara ini juga dapat ditingkatkan dengan memfokuskan kepada kenyataan-kenyataan yang diperolehi daripada masyarakat kedua-dua negara. 

Tidak hanya itu, kedua-dua pihak telah persetujui bahawa perkembangan ejaan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia adalah wajar dengan kemajuan akademik dan keperluan praktikal. Adanya persetujuan ini, maka wujudlah Sistem Ejaan Bersama Malaysia-Indonesia. 

Untuk pengetahuan pembaca, persetujuan Ejaan Rumi Baru Bahasa Melayu telah dilancarkan secara serentak pada 16 Ogos 1972 oleh Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein selaku Perdana Menteri Malaysia di Kuala Lumpur dan Presiden Soeharto di Jakarta. Pelaksanaan ini bertujuan untuk menghapuskan tradisi ejaan lama dan menggantikan Ejaan Za’ba di Malaysia serta Ejaan Soewandi di Indonesia.