Rakyat Malaysia perlu bersiap sedia akan sebarang kenaikan kadar tarif elektrik tidak lama lagi. Ini kerana situasi tersebut mungkin berlaku dek kenaikan kos pengeluaran tenaga yang dilihat semakin tinggi ketika ini.
Melibatkan kenaikan harga gas serta arang batu. Untuk makluman, arang batu menyumbang 59% daripada sumber utama pada penjanaan elektrik di Malaysia.
Pemantauan sekumpulan pakar ekonomi negara pada laporan Astro Awani mendapati tindakan menaikkan kadar tarif elektrik sememangnya tidak dapat dielakkan. Susulan kos penjanaan elektrik telah naik mendadak.
Akan tetapi keutamaan kesukaran kumpulan tertentu wajar dipertimbangkan – dengan menawarkan subsidi tenaga bersasar buat pengguna. Cadangan ini meliputi pengguna tunggal, isi rumah serta kumpulan syarikat.
Selain itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut digesa mempelbagaikan sumber gas dan arang batu bagi tempoh panjang untuk mendepani kesan kenaikan kos tenaga ini – dengan memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui seperti biofuel, solar dan hidro.
Setakat akhir tahun lalu, harga arang batu telah naik kepada RM846 setan, namun menjelang akhir Mei 2022 ia telah meningkat $434 satu tan.
Tidak hanya Malaysia yang terkesan – bahkan pada peringkat serantau, negara lain turut menyemak semula tarif elektrik mereka. Langkah ini adalah tindak-balas terhadap ketidaktentuan pasaran tenaga yang sedang berlaku di peringkat global.
Antara yang menyemak status tarif adalah Singapura, Indonesia, India dan Australia.