Artikel

Bazar Ramadan, Aidilfitri 2022 Papar Prestasi Positif – Raih Jualan RM2.4 Bilion

Sempena meraikan kemeriahan bulan ramadan serta sambutan aidilfitri pada tahun 2022, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati jualan pada tahun ini begitu menggalakkan – apabila Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri berjaya meraih nilai jualan cecah RM2.4 bilion.

Berdasarkan tinjauan, sekitar 1,138 bazar telah dilaksanakan – merangkumi penglibatan sebanyak 61,623 gerai jualan pada tahun ini.

Apa yang menarik kemeriahan jualan tersebut, turut berjaya menghasilkan 156,361 jumlah pekerjaan pada pasaran buruh negara.

Sementara mengikut prestasi jualan bazar negeri, ternyata Selangor  mendahului nilai jualan dengan RM643.1 juta, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM379.5 juta), Johor (RM301.9 juta), Terengganu (RM133.5 juta) dan Perak (RM132.3 juta).

Manakala nilai jualan tertinggi bazar ramadan dan bazar aidilfitri mengikut daerah pula memperlihatkan Petaling (RM230.2 juta), diikuti Johor Bahru (RM126.3 juta) dan Ulu Langat (RM117.9 juta).