Artikel

Malaysia Sasar 55% Lepasan SPM Lanjut Pengajian Dalam TVET – Menjelang 2025

TVET, bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional negara ketika ini wajar dipertingkatkan semula reputasinya demi kepentingan ekonomi Malaysia.

Teguran Perdana Menteri Ismail Sabri pada hari ini (20 Jun) ketika pelancaran Minggu TVET Negara 2022 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah – adalah untuk memperbaharui persepsi semua pihak akan keuntungan disebalik kemahiran bidang ini. Langkah meningkatkan reputasi ini dilihat seiring dengan matlamat negara di bawah agenda Rancangan Malaysia Ke-12.

Terbaharu kerajaan kini mula melaksanakan Program Dermasiswa B40 untuk memberi galakan penyertaan pelajar kumpulan B40 pada lanjutan pengajian TVET. Menyokong pada langkah itu, ia berupaya mencapai sasaran negara untuk memiliki 55% lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian dalam TVET, menjelang 2025 kelak.

Melihat pada usaha berganda ini, sudah pasti kesannya dapat terlihat pada pasaran ekonomi menjelang beberapa tahun mendatang. Buat pengetahuan umum – kerajaan pada awal tahun ini turut memaklumkan akan memberi pendedahan awal TVET kepada pelajar Tingkatan 1.

Tindakan itu bertujuan memupuk minat pelajar dan meningkatkan pemahaman lebih awal kepada mereka berhubung industri TVET negara.