Artikel

Pelanggan Pas My50, Akan Nikmati Tambahan Perjalanan Percuma 30 Hari – RapidKL

Susulan semalam (16 Jun) Perdana Menteri Ismail Sabri telah mengumumkan tambang percuma selama sebulan untuk perkhidmatan RapidKL, sudah pasti ramai pengguna khuatir akan nasib pembaharuan pas My50 bulanan mereka.

Usah risau, pada kenyataan RapidKL hari ini (17 Jun) – buat pelanggan yang telah membeli pas My50 dan memiliki tempoh tamat pas antara 17 Jun hingga 15 Julai 2022, anda akan menikmati perjalanan percuma selama 30 hari selepas pas anda tamat.

Ini bermakna untuk perjalanan pas bulanan seterusnya adalah percuma buat mereka secara automatik.

Manakala buat pelanggan yang telah membeli pas My50 pada 16 Jun anda mesti menebus perjalanan percuma selama 30 hari bagi tempoh antara 23 Julai 2022 hingga 25 Julai 2022 SAHAJA. Iaitu selepas pas anda tamat sepenuhnya. Untuk pelanggan ini, anda dikehendaki menyimpan resit sebagai pembuktian pembelian.

Maka semua pihak yang terlibat, perlu peka akan makluman ini dan laksana langkah selanjutnya demi hak pengguna anda.