AirAsia Super App, aplikasi digital sehenti Capital A kini secara rasminya tampil dengan produk kewangan baharu – bukan BigPay tetapi AirAsia Pocket iaitu platform dompet digital baharu buat tatapan pengguna.
AirAsia Pocket untuk makluman adalah sokongan bersama Fass Payment Solutions atau lebih dikenali sebagai, Fasspay iaitu penyedia kewangan yang diperakui Bank Negara Malaysia (BNM) – di mana ia membolehkan pengguna melaksanakan pelbagai pembayaran secara mudah melalui Super App serta secara fizikal menerusi imbasan kod QR di ruangan terminal penerbangan terpilih. Lebih menarik ia turut membenarkan pengguna berpeluang menerima ganjaran yang lebih besar.
Pelancaran pada hari ini (17 Jun) jelas memperlihatkan AirAsia menyasarkan akses ini berupaya meningkatkan penyertaan pengguna pada landskap kewangan digital dan meneroka pelbagai alternatif pembayaran mudah. Ia menawarkan dua jenis akaun airasia pocket iaitu Lite dan Pro. Akaun Lite disyorkan untuk kegunaan harian dengan had saiz dompet sebanyak RM500, manakala untuk akaun Pro pula direka untuk transaksi bernilai tinggi dengan had saiz dompet sehingga RM4,999.
Maka dengan pengenalan ciri baharu ini ia tidak sekadar untuk pengguna tetapi turut melengkapkan ekosistem Super App sepenuhnya dan akan terus diperluaskan aksesnya dari semasa ke semasa.
Buat pengetahuan umum, selepas Malaysia – AirAsia Pocket Super App akan melebarkan jejaknya ke Thailand pada suku keempat 2022, diikuti Indonesia suku kedua 2023 dan Filipina suku keempat 2023.