Artikel

Barang Import Dibawah RM500 Yang Dibeli Atas-Talian Akan Dikenakan Cukai Bermula 2023

Pada hari ini, sejumlah barangan import yang melalui kurier di beberapa lapangan terbang terpilih dibawah RM500, dikecualikan daripada cukai. Namun, perkara ini dijangka akan berubah pada 2023 kelak.

Malaysia dijangka akan mengenakan cukai import ini terhadap barangan bernilai rendah bermula daripada 1 Januari 2023 kelak.

Buat masa ini, ia dirancang untuk mengenakan cukai apabila kurier melalui tujuh lapangan terbang terpilih. Cukai sebanyak 10% akan dikenakan, dan dijangka dikenakan oleh penjual ketika menjual sesuatu barangan.

Apa pun, cukai ini dikecualikan terhadap barangan yang masuk ke negara melalui laut atau darat.

Dengan langkah pencukaian ini, ia dijangka akan menjadikan pasaran lebih selari – dan penjual tempatan tidak sukar untuk menjual barangan apabila mereka tertakluk kepada cukai tempatan, tetapi barangan import dikecualikan.

Pada hari ini, pelbagai negara mengenakan cukai terhadap produk melalui sistem GST, termasuk Singapura yang mengenakan cukai sebanyak 7% melalui GST, dan akan meningkat kepada 9% menjelang 2025 kelak.