Artikel

13 Jun 2001 – Perasmian KL Sentral Selaku Hab Pengangkutan Moden

KL Sentral yang juga dikenali sebagai Stesen Sentral Kuala Lumpur merupakan hab pengangkutan yang terletak di tengah bandar Kuala Lumpur. Kedudukannya di tengah bandar menjadikan ia sebagai pusat pengangkutan awam yang mudah untuk diakses. 

Stesen yang popular ini telah dirasmikan pada tanggal 13 Jun 2001 oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi di Brickfields, Kuala Lumpur. 

Tujuan penubuhan ini adalah untuk mengambil alih peranan Stesen Keretapi Kuala Lumpur, sekali gus melancarkan perjalanan ke Cyberjaya, Putrajaya dan KLIA di Sepang dengan mengintegrasikan sistem pengangkutan yang sedia ada.

Terdapat 6 aras serta 12 platform yang dilengkapi dengan 28 trek termasuk dengan perkhidmatan KTM Komuter dan Express Rail Link. 

Bukan hanya itu, pembangunan projek KL Sentral ini turut merangkumi KL City Air Terminal yang merupakan satu-satunya terminal udara di dunia yang mempunyai ciri sama dengannya dan ia juga mempunyai kemudahan untuk daftar masuk bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. 

Untuk pengetahuan umum, rancangan membangunkan KL Sentral ini telah bermula sejak tahun 1997 lagi, di mana ia dibangunkan setelah Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) memberi amanah kepada anak syarikat mereka untuk membina hab pengangkutan moden. 

Sebelum ini KL Sentral mempunyai sekitar 100,000 pengguna setiap hari, namun selepas COVID-19, jumlah penumpang telah meningkat kira-kira 200,000 setiap hari. Manakala berhubung kos ketersediaan KL Sentral pula secara puratanya, ia dianggarkan memerlukan sekitar RM8.3 bilion untuk siap sepenuhnya.