Artikel

Capital A Rancang Ke Arah Penyenaraian New York – Bagi AirAsia, Super App

Capital A, syarikat induk disebalik penerbangan tambang murah AirAsia kini merancang ke arah penyenaraian New York untuk penerbangan tersebut dan Super App – aplikasi digital sehenti kumpulan.

Tindakan ini didedahkan menerusi sesi temubual Tony Fernandes bersama Financial Times, apabila pihak Capital A memaklumkan sudah tiba masanya anak syarikat mereka mula mengatur langkah ke arah penyenaraian di Amerika Syarikat (AS).

Walaupun menyedari saham Capital A ketika ini di bawah Nota Amalan 17 (PN17), Tony melihat situasi isu perakaunan ini tidak menggambarkan asas kedudukan syarikat – ia boleh diselesaikan dari semasa ke semasa.

Selain perancangan dan keyakinan kumpulan – Tony menjangkakan tahun 2023 bakal menghasilkan aliran tunai yang postif buat jenama mereka.


PN17, atau Nota Amalan (Practice Note) 17/2005 adalah suatu aturan yang ditetapkan Bursa Malaysia terhadap kumpulan syarikat yang bermasalah dari aspek kewangan. Penyenaraian ini berisiko mengakibatkan sesebuah syarikat terkeluar daripada papan Bursa Malaysia. Secara ringkasnya, entiti berkaitan gagal memenuhi kriteria minimum yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia.

Untuk makluman ini antara ciri membawa kepada klasifikasi PN17;

  • Dana pemegang saham syarikat kurang daripada 25% daripada jumlah modal berbayar
  • Penerima telah dilantik untuk mengawal aset syarikat
  • Penggulungan beberapa anak syarikat mereka dan syarikat bersekutu
  • Juruaudit telah memberikan kenyataan negatif atau tidak seimbang tentang syarikat
  • Tidak patuhi faedah pinjaman dan pembayaran balik hutang syarikat
  • Syarikat telah menangguhkan atau menghentikan operasi
  • Syarikat tidak memiliki perniagaan ataupun operasi yang signifikan