Artikel

Lebih 3,000 Rakan Penghantar Foodpanda Terima Manfaat Saringan Kesihatan – Bersama DOC2US

Foodpanda, platform penghantaran makanan kini meluaskan skop kebajikan buat rakan penghantar mereka dengan melaksanakan kerjasama saringan kesihatan bersama DOC2US – iaitu penyedia khidmat e-preskripsi tempatan.

Seramai lebih 3,000 rakan penghantar dimaklumkan menerima manfaat tersebut. Namun bagi peringkat awal, jumlah tersebut merangkumi rakan penghantar di Pulau Pinang dan Johor sahaja.

Rakan penghantar yang berkaitan boleh berdaftar pada aplikasi DOC2US dengan memilih lokasi berdekatan untuk menjalani saringan kesihatan. Berdasarkan perincian, rakan penghantar akan melalui proses semakan ujian kolestrol, glukosa darah, tekanan darah serta rawatan susulan yang lain.

Adanya langkah ini, ia cerminan baik untuk setiap syarikat meningkatkan pemantauan pada status kesihatan para pekerja. Ia tidak sekadar menjamin kesejahteraan pekerja ekonomi gig tetapi turut membantu produktiviti syarikat terus konsisten.