Artikel

Permintaan Meningkat, Cetus Kekurangan Bekalan Ubat Di Pasaran Negara

Malaysia kini sedang berdepan kekurangan bekalan beberapa jenis ubat – merangkumi ubatan seperti paracetamol, pediatrik, batuk dan beberapa jenis lagi.

Situasi itu diakui Menteri Kesihatan negara Khairy Jamaluddin setelah perbincangan bersama Persatuan Industri Farmasutikal Malaysia dilaksanakan dengan Persatuan Farmasi Malaysia dan Persatuan Pembekal Farmaseutikal Malaysia.

Mengikut pemerhatian, selain permintaan ubatan semakin melonjak – isu gangguan rantaian bekalan turut memperlahankan proses penghantaran stok. Ia dilihat memberi kesan pada pasaran ubatan negara.

Keadaan permintaan yang kekal tinggi ini mengikut laporan, didorong krisis COVID-19 yang masih berleluasa di negara. Maka untuk memastikan jaminan bekalan ubat terus terpelihara, Khairy mengarahkan agar pengeluar ubatan mencari bekalan alternatif bagi mengekalkan jaminan stok.

Selain mengusulkan tindakan itu, orang awam juga diminta untuk tidak melakukan pembelian panik terhadap keperluan ubatan. Ini kerana pembelian ubatan tanpa preskripsi sukar dikawal oleh para farmasi. Berikutan itu kerjasama orang awam membeli mengikut keperluan akan membantu kesejahteraan semua pihak.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada masa yang sama, turut memaklumkan tiada produk ubat di negara mengalami gangguan bekalan secara menyeluruh. Ini kerana kebanyakan ubat memiliki alternatif dari pelbagai jenama. Oleh itu orang awam tidak perlu khuatir akan situasi bekalan semasa.