Artikel

2 Jun 1932 – Era Kejatuhan Harga Getah Dunia, Gugat Pasaran Tanah Melayu

Getah mula diperkenalkan di Tanah Melayu pada abad-19 dan ia telah menjadi tanaman yang popular pada awal abad ke-20. Namun, kemelesetan ekonomi telah berlaku menyebabkan harga getah menjunam jatuh.  

Harga getah telah diisytiharkan $4.95 sepaun iaitu harga terendah yang pernah diletakkan di pasaran dunia pada hari ini tahun 1932. Kemelesetan harga getah dan ekonomi yang melanda Persekutuan Tanah Melayu itu telah memberi kesan yang besar terhadap sosio-ekonomi Tanah Melayu.

Berlakunya kejatuhan harga getah telah menunjukkan kemelesetan ekonomi dunia sudah bermula pada tahun 1929. Ini berpunca daripada munculnya penggunaan jentera-jentera moden, penyelidikan saintifik yang menyebabkan pengeluaran bahan pertanian lain bertambah dan kenaikkan taraf hidup di negara barat.

Tidak sekadar itu, perlumbaan mengeluarkan getah tanpa had dari negara-negara pengeluar getah di dunia dan kegagalan Skim Stevenson telah membawa kepada kejatuhan harga getah di peringat terendah. Selain itu, oleh kerana kesukaran untuk memperoleh getah asli, penggunaan getah tiruan telah berleluasa di negara-negara barat.

Skim Stevenson – Usaha kerajaan British untuk menstabilkan harga getah yang rendah hasil daripada lebihan getah selepas Perang Dunia I

Disebabkan kejatuhan harga ini, kerajaan terpaksa menjimatkan perbelanjaan kewangan bagi jabatan-jabatan kerajaan dengan mengurangkan kakitangan kerajaan dan menurukan gaji pekerja sebanyak 13%. 

Hal ini mengakibatkan kerja-kerja awam tergendala, buruh-buruh estet pula mula menganggur dan dihantar pulang ke India. 

Sungguhpun begitu, ini telah mendorong kerajaan untuk memikirkan sumber alternatif ekonomi utama supaya Tanah Melayu tidak hanya bergantung kepada getah dan bijih timah. Setakat ini bagi suku pertama 2022, nilai eksport getah dan produk getah Malaysia telah mencapai sebanyak RM10.298 bilion. Menurut Majlis Getah Malaysia (MRC), barangan seperti sarung tangan getah adalah penyumbang tertinggi daripada jumlah eksport produk getah iaitu sebanyak 83.1%.

Kini, Malaysia telah berkembang ke pelbagai sektor yang meliputi sektor perkilangan, sektor perlombongan, sektor perkhidmatan, sektor perdagangan dan teknologi digital yang boleh memperkasakan ekonomi negara.