Artikel

1 Jun 1961 – Perdana Menteri Kawal Selia Kementerian Penerangan Dan Penyiaran

Sejak dari dulu lagi kita memang sudah menggunakan televisyen dan radio sebagai medium hiburan. Tapi tahukah anda yang segala perkara berkaitan dengan penyiaran memang sudah lama dikawal oleh kerajaan? 

Adanya Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah dan pelbagai lagi akta lain telah menghadkan pekerja-pekerja media untuk menyampai berita mereka. Ini menyebabkan kebebasan dan kawalan media sering dipersoalkan kerana elemen kawalan oleh kerajaan semakin tidak relevan.

Peristiwa kali ini pada tanggal 1 Jun 1961, kerajaan Malaysia telah menubuhkan Kementerian Penerangan dan Penyiaran yang diletakkan di bawah seliaan Perdana Menteri ketika itu iaitu YTM Tunku Abdul Rahman bersama seorang Menteri Muda. 

Antara jabatan-jabatan di bawah Kementerian ini termasuklah Jabatan Perkhidmatan Penerangan, Jabatan Siaran Radio dan Jabatan Filem Negara Malaysia dan Jabatan Televisyen.

Secara amnya, Kementerian Penerangan dan Penyiaran ini bertanggungjawab dalam semua perkara yang berkaitan dengan BERNAMA (Agensi Berita Nasional Malaysia) serta mengendalikan dan menyelaras segala kegiatan penyebaran kerajaan menerusi Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran dan Filem Negara Malaysia. 

Untuk pengetahuan pembaca, Kementerian ini telah menukarkan namanya kepada Kementerian Penerangan yang bertujuan untuk merancang, menyelaras serta melaksanakan dasar mengenai sebaran am. Ini adalah untuk memberi pemahaman yang menyeluruh kepada masyarakat tentang segala dasar rancangan, program dan kegiatan kerajaan di samping dapat membentuk masyarakat Malaysia mencapai cita-cita yang terkandung dalam Rukun Negara. 

Bukan hanya itu, kini ia dikenali sebagai Jabatan Penerangan Malaysia yang diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi Dan Multimedia. Kementerian ini bertanggungjawab dalam memperkasakan ekonomi digital, infrastruktur telekomunikasi dan tekonologi. Ini menunjukkan Kementerian ini juga dikemas kini selari dengan peredaran zaman.

Walaupun peredaran zaman semakin menyebelahi ke arah digital, namun penyampaian berita menerusi akhbar cetak masih lagi diteruskan. Walau bagaimanapun, mengikut Biro Audit Pengedaran Malaysia (ABC), akhbar cetak bagi semua bahasa di seluruh Malaysia telah merosot pada tahun 2019 sebanyak 618,000 daripada 3.1 juta setiap hari. 

Meskipun kemerosotan berlaku pada media tradisional akan tetapi negara terus mengalami transformasi ke arah digitalisasi di mana Malaysia menyasarkan menjelang 2025, negara berupaya menyumbangan dalam ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan mencapai sekurang-kurangnya 25.5% berbanding tahun 2020 yang menyumbang sebanyak 22.6%.

Melalui gagasan ini, ia dilihat memberi impak yang baik kepada industri penyiaran dan media secara langsung menjadikan industri ini tidak terlalu terikat dibawah kawalan pihak-pihak tertentu.