Artikel

Dutch Lady Beri Amaran Kenaikan Harga Susu Berpotensi Berlaku

Walaupun rakyat Malaysia diminta untuk tidak khuatir akan situasi bekalan negara, namun isu tersebut secara realitinya telah memberi kesan kepada rantaian produk negara – di mana ia menjejaskan struktur harga di pasaran tempatan.

Kesukaran ini mula dirasai Dutch Lady Milk Industries pada penawaran produk tenusu mereka kepada pengguna. Maklumat ini dikongsikan bersempena Hari Susu Sedunia di mana pihaknya turut memberi amaran bahawa lebih banyak kenaikan harga mungkin akan berlaku kepada pengguna apabila inflasi kos terus melonjak.

Mengikut perincian, ketidakseimbangan bahan mentah yang berlaku di peringkat global telah menyulitkan komiten Dutch Lady dalam menyajikan produk berkhasiat pada harga berpatutan untuk pengguna, disamping menjaga kepentingan pemegang saham pada aspek keuntungan.

Buat masa ini, Dutch Lady masih berusaha mengekalkan harga produk pada paras yang sama dan memantau pasaran. Akan tetapi sebarang kemungkinan kenaikan harga dilihat berpotensi berlaku, jika situasi berterusan memberi tekanan kepada industri.