Hari ini pada tahun 1983, Lembaga Penyelidikan dan Kemajuan Koko Malaysia telah berjaya ditubuhkan. Peristiwa ini diumumkan semasa Majlis Perasmian Kilang Memproses Koko di Bagan Datuk, Perak oleh Dato’ Musa bin Hitam yang merupakan YAB Timbalan Perdana Menteri ketika itu.
Menerusi penubuhan ini, ia tidak hanya menjamin perusahaan koko tapi turut meluaskan pasarannya. Selain itu, adanya medium penyelidikan ini, ia secara terus mempelbagaikan pengeluaran produk hasil koko dan tingkatkan hasil pertanian negara.
Tidak hanya itu, lembaga ini bertanggungjawab menjalankan penyelidikan mengenai koko merangkumi pembiakan biologi serta agronomi, pemprosesan, pemasaran dan keseluruhan perancangan bagi pertumbuhan perusahaan koko.
Pembiakan Biologi – pembiakan yang berkaitan dengan struktur, fungsi, perkembangan, taburan, dan proses hidup pada benda hidup
Agronomi – sains pertanian atau cabang ilmu pertanian yang berkaitan dengan pengelolaan tanah bagi menghasilkan tanaman
Seterusnya, ia juga akan mengambil alih tugas-tugas penyelidikan mengenai koko yang sebelum ini dijalankan oleh MARDI.
Selain daripada mengambil alih tugasan MARDI, Lembaga Penyelidikan dan Kemajuan Koko Malaysia akan menjadikan sebuah stesen penyelidikan di Tawau, Sabah sebagai stesen penyelidikan di bawah pengawasan lembaga ini.
Antara sebab mengapa lembaga koko ditubuhkan adalah kerana segmen komoditi ini menjadi salah satu penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Setakat tahun 2020, hasil koko telah menyumbang sebanyak RM1.64 bilion kepada KDNK iaitu meningkat 5.4% berbanding tahun sebelumnya RM1.56 bilion.
Kini, produk berasaskan koko telah dieksport lebih ke 80 buah negara. Antara destinasi utama pasaran ialah Jepun, Amerika Syarikat, Singapura, Kesatuan Eropah, Australia dan China.
Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) pula menyasarkan nilai eksport komoditi koko meningkat dua kali ganda pada 2022 iaitu RM14 bilion daripada jumlah yang direkodkan tahun lalu sebanyak RM7 bilion.