Artikel

Rakyat Thailand Disaran Guna Kereta Untuk Perjalanan Penting Sahaja – Tangani Kenaikan Kos

Kenaikan harga minyak pada masa ini, dilihat telah memberi kesan kepada perbelanjaan harian para penduduk dunia – termasuklah di Thailand.

Meneliti isu semasa itu, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha kini menyarankan agar penduduk negaranya mengehadkan perjalanan mereka dengan kenderaan sendiri.

Ini bermakna, kegunaan kenderaan sendiri wajar dilaksanakan untuk perjalanan penting sahaja. Tindakan itu tidak sekadar memberi penjimatan daripada aspek kenaikan kos minyak tetapi turut meredakan kesesakan lalu lintas yang sedang berlaku ketika ini.

Mengikut laporan Thaiger, kerajaan Thailand sedaya upaya memastikan kos minyak di tahap terendah bagi membantu penduduk Thailand depani krisis ekonomi ini.

Maka saranan tersebut diusulkan. Akan tetapi ia secara langsung akan menjejaskan sektor pelancongan Thailand. Di mana perjalanan yang terhad akan mengurangkan permintaan pelancongan mereka.

Bagaimanapun, Thailand dimaklumkan akan meningkatkan lagi subsidi harga minyak negara mereka menerusi dana bahan api – ia bertujuan untuk menampung kenaikan kos yang sedang berlaku pada pasaran.