Artikel

26 Mei 1983 – Kerajaan Pantau Faktor Utama Pelajar Melayu Gagal Dalam Kejuruteraan

Peristiwa sejarah kali ini adalah berkenaan Menteri Pelajaran yang ketika itu ialah YB Tan Sri Amar Dr. Sulaiman Bin Hj. Daud, melaksanakan kajian untuk mengesan masalah kekurangan pelajar Melayu yang lulus dalam bidang kejuruteraan di universiti-universiti tempatan terutamanya di Universiti Malaya. 

Kajian yang bermula pada tanggal 26 Mei 1983 ini dilakukan bagi mengastasi masalah kegagalan pelajar Melayu di dalam bidang ini. Siasatan dan kajian telah diadakan di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya. 

Berikutan itu, antara langkah yang dilaksanakan termasuklah menyemak sama ada pelajar boleh memeriksa semula kertas-kertas jawapan yang diambil ketika peperiksaan. 

Selain itu, menganalisis semula tugas-tugas pemeriksa luar bagi memastikan tugasan mereka tidak hanya difokuskan untuk menjaga kualiti tanpa memperbaiki kelemahan pelajar.

Sebaik sahaja maklumat dan pandangan dari pelajar serta kakitangan akademik diterima, ia akan dijadikan sebagai laporan bagi mencari punca dan penyelesai untuk masalah ini. Bukan sekadar itu, jika masalah ini terus berlarutan, ia akan menjejaskan harapan kerajaan untuk menyusun semula masyarakat.

Apa yang dapat dilihat, usaha ini dijalankan demi memajukan Bumiputra di dalam bidang professional di negara ini.

Untuk pengetahuan anda, setakat tahun 2019, kursus Kejuruteraan di Universiti Malaya telah berjaya menduduki tempat ke-15 terbaik di dunia dalam senarai U.S News & World Report Best Global Universities Rankings.