Artikel

Paras Keyakinan Perniagaan Malaysia Kini 3.5% – Sedikit Menurun Bagi Suku Kedua 2022

Petunjuk keyakinan peniaga bagi aliran perniagaan Malaysia pada suku kedua 2022 kelak dlihat masih positif, di paras 3.5%. Akan tetapi tahap keyakinan ini sedikit menurun, berbanding paras 7.6% pada suku yang sama tahun lalu.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini secara jelas menunjukkan peniaga kekal berhati-hati dalam menjangkakan prestasi mereka pada bulan-bulan mendatang.

Paras ini akan membantu peniaga, mengenalpasti faktor persediaan yang wajar diberi tumpuan.

Petunjuk keyakinan adalah rujukan jangka pendek yang merumuskan pandangan keseluruhan persekitaran perniagaan dalam pelbagai sektor di Malaysia. Ia merangkumi purata jumlah imbangan bersih bagi pembolehubah terpilih.

Untuk makluman semua sektor kecuali Pembinaan – menjangkakan aliran perniagaan menjadi lebih baik pada suku kedua kelak. Berdasarkan sasaran itu, sektor Perdagangan Borong dan Runcit menjadi segmen yang paling positif akan peningkatan prestasi perniagaan dengan keyakinan 15.5%.

Manakala keyakinan sektor Pembinaan pula menurun 23.2%, ini didorong hasil peningkatkan kos komponen yang menghimpit para pembekal.

Sementara berdasarkan jangkaan pengambilan pekerja pula – 19.3% peniaga memaklumkan akan meningkatkan tenaga kerja, manakala 8.5% peniaga pula merancang mengurangkan pekerja pada suku kedua kelak.