Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menjadi pengukur aras utama kadar inflasi negara kini terus memaparkan peningkatan, apabila mencatatkan kenaikan 2.3% pada April 2022.
Angka itu secara langsung memperlihatkan kenaikan inflasi telah melepasi purata inflasi negara bagi tempoh 2011 sehingga April 2022 iaitu di paras 1.9%.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kenaikan inflasi makanan kepada 4.1% dalam kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol ini telah berlaku disebabkan beberapa faktor seperti kekurangan bekalan, cuaca, serta harga makanan ternakan.
Ia secara langsung memberi tekanan kepada inflasi makanan negara bagi April 2022 dan menjadi penyumbang kepada keseluruhan data IHP dan kepada kenaikan inflasi negara.
Sementara mengikut aliran inflasi negeri pula, memperlihatkan 4 buah negeri alami peningkatan inflasi secara ketara. Di mana Selangor dan Putrajaya (3.1%), diikuti Perak (2.4%), Terengganu (2.3%) dan Pulau Pinang (2.3%).
Bagi peningkatan inflasi makanan mengikut negeri pula – Selangor dan Putrajaya mencatatkan 5.7%, diikuti Pulau Pinang (4.4%), Perak (4.2%) dan Johor (4.2%).