Artikel

Negara Anggota Capai Sepakat Rombak Kaedah Pembiayaan WHO – Jadi Lebih Stabil

Persetujuan kini telah dicapai oleh negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), apabila menyatakan kesepakatan merombak kaedah pembiayaan agensi kesihatan PBB ini.

Langkah itu bertujuan untuk meningkatkan kecekapan agensi tatkala bertindak-balas ke atas krisis kesihatan dunia. Malah rombakan ini turut membantu WHO menyeimbang serta memiliki kawalan berhubung agihan keutamaan pembiayaan.

WHO menyambut baik persetujuan tersebut, dan melihat ia membantu kumpulan dalam melaksanakan strategi bantuan jangka masa panjang ke atas beberapa buah negara.

Untuk makluman, WHO menerima sumbangan dari 194 negara anggotannya bersama pertubuhan bukan kerajaan. Aliran yuran keahlian negara anggota dikira berdasarkan kekayaan dan jumlah penduduk – menyumbang 20% daripada dana WHO.

Malaha kebanyakan sumbangan diterima WHO pula adalah merangkumi sumbangan sukarela – iaitu dana ini dibelanjakan mengikut tujuan khusus sahaja iaitu tujuan yang telah ditetapkan mereka.

Oleh itu secara asasnya bidang kuasa WHO  adalah terhad untuk bertindak, tangani krisis kecemasan yang sedang berlaku di dunia.

Adanya perubahan ini, ia membantu WHO menyalurkan dana mengikut keutamaan krisis semasa. Setakat ini sumbangan negara anggota mencapai RM4.2 bilion, manakala sumbangan sukarela pula sekitar RM16.2 bilion. Ketidakseimbangan dalam aliran sumbangan kepada WHO ini wajar alami perubahan dan perkara ini harus diperbaiki oleh semua pihak.