Malaysia dan Jepun bukanlah negara yang asing dalam mengatur kerjasama, ini dapat diperlihat pada agenda Dasar Pandang ke Timur (DPT) yang mula diperkenalkan negara sejak tahun 1982. Melihat pada keberkesanan usaha itu, kedua negara mula melanjutkan kesepakatan ke dalam industri bioteknologi – iaitu pada tanggal 24 Mei 2006, tarikh bersejarah buat negara pada hari ini.
Buat pengetahuan umum pemerkasaan arena bioteknologi ini melibatkan industri pengeluaran serta perkhidmatan kedua negara – yang meliputi penghasilan makanan, minyak bio, ubat-ubatan, komestik dan herba.
Apa yang menarik, gagasan ini telah disempurnakan oleh Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu bersama Perdana Menteri Jepun, Junichiro Koizumi bertemu di Sori Kantei, Tokyo.
Kedua pemimpin dunia ini melihat kesepakatan tersebut tidak hanya memberi manfaat kepada industri bioteknologi semata-mata, tetapi ini akan membawa kepada penerokaan yang lebih besar dalam pelaburan pasaran lain, seperti mana kejayaan kedua negara dalam memperkasakan segmen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Sehingga kini, Malaysia dan Jepun masih lagi menjalinkan hubungan yang baik, malah, kesepakatan dalam Dasar Pandang ke Timur masih lagi diteruskan termasuklah kerjasama dalam pelbagai segmen yang meliputi industri pesawat, pekerja mahir serta belia dan sukan.