Artikel

Bilangan Penduduk Bekerja Malaysia Meningkat – Kini 15.57 Juta Individu

Aliran guna tenaga Malaysia bagi suku pertama 2022 terus memaparkan peningkatan pada pertumbuhan. Di mana bilangan penduduk bekerja kini telah meningkat sebanyak 338,300 individu kepada 15.57 juta individu bekerja.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini secara jelas memaparkan peningkatan 2.2% berbanding 1.8% pada laporan suku sebelumnya.

Berdasarkan angka itu, lebih separuh daripada penduduk bekerja negara adalah lelaki. Ia mewakili 61.2% bersamaan 9.53 juta penduduk bekerja adalah lelaki. Angka ini lebih tinggi berbanding penyertaan wanita pada bilangan penduduk bekerja, mewakili 38.8% bersamaan 6.04 juta penduduk bekerja wanita.

Manakala bagi perincian penduduk bekerja mengikut kumpulan umur pula, kategori usia 25 tahun hingga 34 tahun tampil selaku penyumbang utama (34.2%) iaitu 5.32 juta penduduk bekerja bagi suku pertama 2022.

Diikuti 25.8% iaitu 4.02 juta penduduk bekerja berusia 35 hingga 44 tahun. Ini bermakna penyertaan dua kumpulan umur ini membawa kepada dua pertiga daripada jumlah penduduk bekerja di Malaysia.

Sementara kumpulan belia berusia 15 tahun hingga 24 tahun pula mencatatkan jumlah bekerja sekitar 2.44 juta (15.6%) pada aliran penduduk bekerja negara.