Artikel

T20 Nikmati 53% Subsidi Minyak, Sementara Hanya 15% Ke B40

Secara asasnya, penawaran subsidi sesebuah negara adalah untuk meringankan beban rakyat mereka. Tetapi di Malaysia ternyata kumpulan T20 atau golongan kaya – dilihat lebih banyak menikmati subsidi yang diperuntukkan oleh kerajaan negara.

Demikian menurut Tengku Zafrul pada laporan Astro Awani, apabila setiap RM1 subsidi bahan api 53 sen akan pergi kepada kumpulan T20, manakala 15 sen pula dimanfaatkan oleh kumpulan B40 – iaitu isi rumah pendapatan rendah.

Ini bermakna T20 menikmati 53% subsidi, sedangkan B40 pula menikmati 15% subsidi tersebut.

Sebelum ini, Tengku Zafrul juga pernah menyatakan pada Parlimen perolehan manfaat subsidi yang tinggi dalam kalangan pengguna T20 adalah berdasarkan tahap penggunaan yang lebih besar berbanding dengan mereka yang berpendapatan rendah.

Maka, melihat pada aliran manfaat subsidi tersebut -Tengku Zafrul memaklumkan kerajaan ketika ini sedang mengkaji penyaluran subsidi petrol dan elektrik yang lebih bersasar kepada golongan rentan.

Usaha itu akan membantu negara mengurangkan jurang serta ketirisan sumber negara dari semasa ke semasa.