Grab Holding, firma teknologi Asia Tenggara yang menyediakan pelbagai kemudahan plaform pengangkutan dan makanan kini mecatatkan penurunan pada nilai kerugiannya untuk suku pertama 2022.
Berdasarkan perkongsian laporan kewangan suku tahunan pertama 2022 yang berakhir pada 31 Mac lalu, Grab mencatatkan kerugian bersih sekitar AS$435 juta. Ini lebih rendah berbanding tempoh suku pertama pada 2021 yang mencatatkan kerugian sekitar AS$666 juta.
Sementara bahagian perolehan pula memperlihatkan peningkatan sekitar 6% pada suku pertama 2022 – di mana Grab berjaya meraih perolehan sekitar AS$228 juta, lebih tinggi berbanding AS$216 juta pada suku pertama 2021.
Menurut Grab pengukuhan prestasi kewangan ini didorong hasil komitmen operasi, pertumbuhan GMV yang lebih kukuh bersama pemerkasaan dalam segmen pengangkutan dan perkembangan segmen makanan lebih baik. Apa yang menarik, penyertaan Jaya Grocer bersama Grab turut menyokong perluasan jenama dan memenuhi permintaan pasaran.
Grab juga turut merancang memasuki pasaran baharu dengan meluaskan khidmatnya pada lokasi luar bandar serta pekan. Pihaknya menjangkakan segmen pengangkutan akan memacu peningkatan pada prestasi firma. Ketika ini kumpulan telah memperlihatkan penambahan 220,000 pemandu aktif secara bulanan.
Buat pengetahuan umum, hasil kumpulan meningkat 87% berbanding suku sebelumnya, ini disokong hasil kelonggaran sekatan ekonomi negara. Apabila purata perbelanjaan bagi setiap pengguna (GMV) telah meningkat 19% kepada AS$155 juta – ia secara langsung menunjukkan permintaan Grab terus berdaya saing.